Pada awal kemunculan wabak Covid-19, rata-rata memandang sinis dengan wabak ini dan langsung tiada rasa takut dengan kesan buruk bakal berlaku.
Lihat sahaja hari ini, gara-gara sikap alpa kita kesannya sangat mendalam terutama dari segi ekonomi. Rakyat di Malaysia kini dalam tempoh fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ianya diakui memberi kesulitan kepada yang bergaji hari.
TERCUNGAP-CUNGAP KEJAR BANTUAN DENGAN BERBASIKAL
Dalam kita bersenang lenang dalam membancuh resepi Dalgona Coffee, harus diingat masih ramai di luar sana sedang menahan lapar dan rungsing memikirkan nasib perut anak bini kerana hilang punca mata pencarian.
Bercerita soal nasib golongan kurang berkemampuan ini, ada satu perkongsian dari aktivitis masyarakat iaitu Abam Botak yang berkongsikan kisah menyayat hati di laman Facebook miliknya pada beberapa jam yang lepas.
Sumber Facebook
Menurut perkongsian Abam Botak, semasa dia dalam perjalanan menaiki van untuk mengedarkan bantuan makanan, dia didatangi oleh seorang bapa muda dalam keadaan termengah-mengah disebabkan mengejarnya menggunakan basikal.
BARANG BANTUAN SUDAH ADA PEMILIK
Kejadian menjadi hiba apabila lelaki berkenaan (dirahsiakan identiti) membuka cerita perihal nasib dia dan keluarga di rumah. Menurutnya dia ingin meminta sedikit bantuan dari Abam Botak kerana di rumahnya sudah tidak ada apa-apa untuk diberikan kepada anak bini.
Pada hari kejadian, Abam Botak tidak dapat membantu kerana sumbangan yang dibawa perlu diberi keutamaan kepada orang terdahulu yang sudah pun dimaklumkan untuk dibantu.Memang sedikit memeritkan untuk bapa muda berkenaan kerana dari raut wajahnya bersungguh-sungguh mengharapkan dihulur bantuan.
KEESOKAN HARINYA…
Namun demikian, tambah Abam Botak hasil bertukar nombor akhirnya sumbangan dapat diberikan pada keesokan harinya. Lelaki berkenaan sungguh gembira dan cuba mencium tangan Abam Botak diatas bantuan dihulurkan namun ianya ditolak secara baik.
Sumber Facebook
Melihat kepada reaksi warganet yang mengikuti perkongsian itu, rata-rata turut terkesan dan berasa sedih dengan keadaan yang dilalui oleh lelaki berkenaan. Ramai yang sebak dan mendoakan kebaikan yang dilakukan oleh Abam Botak.
Tidak dinafikan yang ramai antara kita memiliki harta namun tak ramai pula yang berjiwa pemurah untuk membantu golongan yang memerlukan. Semoga kisah ini dapat membuka mata antara kita untuk faham erti syukur.