Sos cili adalah salah satu penyedap masakan dan juga bahan wajib ada di rumah kita. Segala makanan bergoreng memang sedap kalau dicicah dengan sos ni. Sebotol kecil, harganya dalam RM2-Rm3 ringgit lebih bergantung pada jenama. Kalau sekali guna pun dah 1/2 botol. Sekejap je habis kan. Khas untuk puan-puan yang nak jimat, resipi Sos Cili Thai homemade ni anda boleh cuba.
Hanya dengan bermodalkan RM5, puan-puan dapat menghasilkan tiga botol Sos Cili Thai ni secara homemade untuk kegunaan keluarga. Memang sangat jimat! Bagi yang nak cuba, berikut adalah resipi yang dikongsi oleh saudari Haslindawati Omar.
RESIPI SOS CILI THAI HOMEMADE
BAHAN-BAHAN:
2 cawan air
3 sudu makan tepung jagung – bancuh dengan sedikit air
Sedikit cuka makan
½ cawan gula – ikut tahap kemanisan yang anda suka.
Secubit garam
BAHAN KISAR (JANGAN TERLALU HANCUR. AGAK-AGAK SAHAJA):
5 biji cili merah besar – buang biji
4 biji cili padi merah – tidak perlu buang biji
5 ulas bawang putih
1/3 cawan air
CARA MEMASAK:
1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk dan tambahkan 2 cawan air.
2. Masak bahan kisar tadi hingga mendidih.
3. Seterusnya masukkan cuka, gula dan garam. Kacau sebati sampai gula larut.
4. Kemudian masukkan bancuhan tepung jagung.
5. Teruskan masak sampai mendidih dan sos berkilat.
6. Siap dan sejukkan sos terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam botol bersih. Simpan dalam peti sejuk supaya tahan lama.