Dari Jalanan Menjadi ‘Pahlawan Negara’ ,Sehingga Akhir Hayatnya Dikenang Semua Orang..

PADA pertengahan bulan Mei 2012, seekor anjing daripada baka ‘Shiloh German Shepherd’, telah dianugerahkan pingat ‘Anjing Pahlawan Nasional’ ke-30 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Anjing bernama Bear itu menerima penghargaan tersebut setelah ia berjaya menyelamatkan tuannya daripada maut.Tiga tahun sebelum itu, tiada sesiapa pun yang mempedulikan kehidupan Bear. Anjing ini sama sahaja seperti anjing-anjing jalanan lain yang sekadar hidup merempat di sebuah perkampungan anjing di Texas.

Namun, keadaan berubah apabila seorang wanita pertengahan umur bernama Debbie Ziesler telah memungutnya untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Bermula dari detik itu, Bear mempunyai kehidupan baru dan ia sentiasa berada bersama tuannya.

Sehinggalah pada pertengahan tahun 2011, Debbie telah diserang angin ahmar. Dia mengalami kekejangan otot, lalu terjatuh ketika menuruni tangga rumahnya. Lebih parah, kepalanya terhantuk di bucu dinding sehingga menyebabkan dia pengsan serta-merta.

Melihatkan keadaan tuannya yang tidak sedarkan diri, Bear lari keluar rumah dan cuba untuk mendapatkan bantuan kecemasan. Ia menyalak dan menggaruk pintu dari rumah ke rumah di kawasan kejiranan berkenaan. Tetapi sayang, tiada seorang pun yang menjawab ‘panggilan’ itu.

Tanpa disedari seorang petugas bandar raya yang sedang membersihkan kawasan tersebut telah melihat tingkah laku Bear yang dalam keadaan panik. Dia seolah-olah dapat membaca ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh anjing berkenaan. Tanpa banyak berbicara, lelaki itu mengekori Bear ke rumahnya.

Setibanya di rumah tersebut, lelaki berkenaan melihat seorang wanita berada dalam keadaan pengsan. Tanpa berlengah, dia menelefon pihak hospital untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Kasih sayang Bear tidak berakhir di situ. Apabila ambulans tiba untuk membawa Debbie ke hospital, ia turut sama melompat masuk ke kenderaan tersebut untuk menemani tuannya.

Perilaku anjing itu telah menyentuh hati mereka yang melihatnya. Disebabkan kepekaan Bear, nyawa Debbie berjaya diselamatkan.

Debbie turut mencertitakan, sekalipun pun ia hanya sekadar seekor haiwan, tetapi Bear banyak membantu dalam kehidupannya seharian.

Apabila dia mengalami kekejangan otot, anjing inilah yang akan membantu mengambil ubatnya setiap kali diperlukan. Bahkan, ia akan setia berada di sisi Debbie sehinggalah simptom kekejangan otot itu pulih.

Itu kisah Bear. Ini pula lain kisahhya, namun masih berkisar tentang haiwan yang sama.

Pada September 2011 di Kazakhstan, seekor anjing diberitakan telah maut dilanggar kereta api ketika cuba menyelamatkan tuannya yang ingin membunuh diri. Anjing tersebut telah dilanggar beberapa saat selepas menarik tuannya daripada landasan.

Berdasarkan laporan berita akhbar tempatan di sana, tuan kepada anjing tersebut yang merupakan seorang lelaki berusia 48 tahun, cuba untuk membunuh diri dengan meminum sebotol vodka dan berbaring di atas rel kereta api.

Beberapa saksi yang melihat kejadian itu menyatakan, anjing berkenaan telah menarik tuannya apabila melihat kereta api semakin hampir. Namun, kenderaan itu terus meluncur laju dan ia sendiri tidak dapat menyelamatkan diri.

Akibat rempuhan yang kuat, anjing itu mati serta-merta manakala tuannya pula hanya cedera di bahu. Lelaki berkenaan dibawa ke hospital dan hanya menyedari kejadian tersebut berlaku selepas dia sedar semula.

Itu hanya secebis kisah hubungan haiwan ini dengan manusia. Banyak lagi kejadian serupa pernah berlaku.

Mengikut kajian, anjing merupakan sejenis haiwan yang setia, bahkan sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan tuan mereka yang berada di dalam keadaan kesusahan.

Anjing turut memiliki posisi unik dalam hubungan antara spesies. Kesetiaan dan pengabdian yang ditunjukkan anjing mirip dengan konsep kehidupan manusia iaitu cinta dan persahabatan.

Dalam beberapa kajian ilmiah juga mendapati, anjing memiliki kecerdasan yang lebih tinggi berbanding haiwan lain. Tahap kecerdasan haiwan ini bergantung kepada ras dan baka. Sesetengah baka anjing cenderung untuk mematuhi arahan tuannya, manakala sesetengah baka yang lain lebih selesa menunjukkan kepintaran mereka dalam hal-hal yang tertentu

Post Berkaitan

Leave a Reply