Kisah ini berlaku di negeri Johor dimana Seorang wanita telah berdepan situasi yang mencemaskan apabila kucing kesayangannya tiba2 jatuh dari tingkat empat kediaman. Pemilik lembik lutut ‘kejadian paling ditakuti’ jadi realiti, si bulus gagal tangkap burung jatuh dari tingkat 4 – “Orang kata kucing ada sembilan nyawa…”
Deborah Ipah Ak Ili, 25 ketika dihubungi berkata, kejadian tersebut berlaku pada 19 Oktober lalu dan mengambil keputusan berkongsi pengalamannya menakutkan itu di laman Facebook.
“Masa tu kucing saya tengah duduk atas pagar nak tangkap burung, memang selalu duduk dekat situ, sebelum-sebelum ni pun risau tengok sebab takut jatuh… akhirnya jadi juga.
“Masa suami saya jerit beritahu kucing jatuh tu lutut saya dah lembik, air mata dah tak boleh keluar, jantung pun rasa macam nak meletup, saya memang terkejut sangat-sangat,” katanya yang sudah sekitar enam bulan membela kucing jantan yang dipanggil Mek itu.
Deborah tidak putus-putus berdoa ketika suaminya yang turut kelihatan risau turun untuk mengambil Mek.—
“Bila suami saya jumpa, hidung dengan mulut Mek berdarah, mulut luka sebab terkena gigi taring dia tercucuk dekat gusi bawah.. mungkin jatuh muka dulu.
“Ya Tuhan masa tu tak tau nak buat apa sebab terkejut sangat, saya lap darah dekat hidung dia, klinik haiwan dekat kawasan saya buka Jumaat je, masa tu hari Selasa, klinik haiwan paling dekat yang buka jarak dua jam perjalanan, jadi saya memang buntu masa tu,” katanya yang menetap di Mersing, Johor.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila melihat anak bulusnya itu kembali sihat dan aktif seperti biasa.
“Dua tiga hari lepas tu Mek mula okay, dah boleh makan walaupun tak dapat makan Whiskas, saya bagi dia makan ayam rebus yang dikisar hancur-hancur, makan minum pun okay, kencing berak pun okay.
“Hari kedua lepas jatuh Mek dah mula aktif sikit nak tangkap serangga dan cicak, sekarang dah boleh main dengan anak saya,” katanya.
Menurut Deborah, dia membela Mek sejak kucing itu masih kecil.
“Saya ambik Mek sekitar Mei atau Jun lalu, ia kucing jalanan tapi orang selalu bagi makan.
“Saya ambil dia sebab tak nak anak saya fobia dengan kucing sebab kucing saya yang hilang sebelum ni suka gigit saya, pernah sampai masuk emergency ward, tapi Mek ni manja sangat, dia suka main dengan anak saya,” katanya.
Deborah yang merupakan anak Sarawak ini turut sempat menitipkan pesanan kepada pemilik kucing supaya sentiasa memantau anak-anak bulus mereka untuk mengelakkan perkara yang sama menimpa kucing mereka.
“Memang orang kata kucing ada sembilan nyawa tapi kadang-kadang nasib tak menyebelahi kita, kadang-kadang ada anak bulus yang tak pandai landing on their feet bila jatuh, kesian mereka, kita kalau jatuh dari tingkat tinggi pun boleh mati.
“Mek memang kuat, Tuhan dengar doa saya, siang malam saya berdoa tak nak kehilangan dia, baru beberapa bulan je saya bela dia, kami semua memang sayang Mek,” katanya.