Tuah Lelaki Ini Dapat Bernikah Dua Serentak Apabila Ada Wanita Lain Muncul Tawar Diri Sebagai Madu

Sebuah video yang memaparkan majlis pernikahan seorang lelaki dengan dua wanita secara serentak menjadi tular di internet dengan ramai netizen meluahkan rasa kagum
mereka terhadap lelaki tersebut, lapor laman berita Suara.com pada 28 Julai 2021.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki yang lengkap dengan persalinan pengantin sedang duduk sambil diapit oleh dua orang pengantin perempuan cantik. Turut berada di hadapan mereka ialah seorang lagi lelaki dipercayai jurunikah kelihatan bersiap sedia untuk menikahkan pasangan tersebut.

Pengantin perempuan, Nur Khusnul Kotimah, 20, dari Dusun Batugulung, Desa Prabu, Lombok Tengah, menyifatkan apa yang berlaku sebagai takdir apabila suaminya meneruskan pernikahan dengan seorang lagi wanita.

Suaminya, Korik Akbar, 20, turut menikahi bekas kekasih, Yuanita Ruri, 21, dari Dusun Sade, Desa Rembitan, Lombok Tengah pada majlis sama. Majlis pernikahan yang berlangsung secara sederhana itu turut dihadiri oleh tetamu yang duduk di atas sebuah permaidani di hadapan pasangan pengantin.

Khusnul berkata, dia pasrah suaminya menikahi wanita lain kerana ketika Yuanita tahu mengenai majlis pernikahan yang bakal diadakan, dia tampil menemui Korik dan minta untuk dinikahi juga.

“Bekas kekasih suami saya (Yuanita) tahu mengenai rancangan kami untuk bernikah melalui media sosial kerana ramai rakan-rakan mengucapkan tahniah. Kerana itu, dia minta untuk dijadikan isteri juga,” katanya.

Sementara itu, Korik mengaku sangat terkejut atas kedatangan bekas kekasihnya yang dikenali sejak 2016. Korik juga berasa sedikit susah hati kerana masih belum mendapat pekerjaan untuk menanggung dua isterinya nanti. “Saya tidak menyangka dan sangat terkejut. Namun, selepas berbincang dengan keluarga, saya membuat keputusan untuk menikahi kedua-duanya. Mas kahwin untuk kedua-duanya juga sama iaitu 1.75 juta Rupiah (kira-kira RM510),” katanya.

Rata-rata pengguna media sosial mengagumi lelaki tersebut dengan meninggalkan komen yang meminta agar mereka turut diajar ‘ilmu’ kahwin dua secara serentak. “Ambil saya jadi muridmu,” komen seorang netizen.

Leave a Reply

Your email address will not be published.