Dek kerana ngiauan pelik di dapur, Didi Menjadi Hero.

Tindakan pelik seekor kucing peliharaan bernama Didi menyedarkan pemilik sebuah kediaman dengan kehadiran seekor ular tedung senduk yang bersembunyi di sebalik dapur.

Kira-kira tengah hari semalam, satu keluarga di Kampung Tengah gempar dengan keberadaan reptilia berbisa itu.

Menurut penghuni kediaman tersebut, pihaknya hanya menyedari ada ular di dalam rumah setelah melihat reaksi pelik Didi.

“Kami hairan melihat Didi terjenguk-jenguk ke bahagian tepi dinding dapur.

“Bunyinya seolah-olah memberitahu sesuatu dan tidak tahan dengan bunyi Didi, saya bertindak meninjau tempat yang dimaksudkan.

“Alangkah terperanjatnya saya melihat seekor ular tedung senduk berada di tepi dinding dapur dalam keadaan sedang menelan seekor tikus,” katanya di sini, semalam.

Dia katanya terus memberitahu jiran-jiran untuk mendapatkan bantuan untuk menghalau ular tersebut.

“Oleh kerana ia diketahui sebagai haiwan yang mempunyai bisa termasuk mengundang maaut, maka saya terpaksa meminta tolong banyak pihak.

“Ramai yang datang membantu dan pada satu ketika, ular tersebut berjaya melepaskan diri ke bawah tangga (kaki lima). Ia bersembunyi agak lama.

“Namun selepas dua jam, ular tersebut berjaya ditundukkan dengan menjerat kepalanya menggunakan tali. Ular berkenaan selepas itu dibuang ke sungai,” ujarnya.

Katanya lagi, kali ini sudah lima kali ular bertandang ke kawasan rumah tetapi sebelumnya kesemuanya jenis ular sawa.

Post Berkaitan

Leave a Reply