Hina Sangat Ke? Dah Tahu Miskin Tapi Beranak Setiap Tahun Kenapa.

Dah Tahu Miskin Beranak Setiap Tahun Kenapa. Kata-kata Hinaaa Seorang Cikgu dan Rakan Sekelas Membuatkan Beliau Buktikan Anak Petani pun Serba Boleh

Setiap manusia di dunia mempunyai kehidupan yang berbeza-beza. Perjalanan hidup setiap seorang juga tidak sama malahan keinginan, citarasa dan takdir juga berlainan. Kesemuanya mempunyai gambarajah kehidupan masing-masing yang unik dan tersendiri.

Jika kita terdiri daripada golongan orang berada, kena ingat, bukan semua orang bertuah seperti kita. Tinggal di rumah yang selesa, ada ibu bapa yang berduit dan mampu memiliki apa yang kita inginkan apabila kita minta. Bagi sesetengah individu, rezeki tidak datang bergolek tanpa usaha yang keras. Ada orang dapat kesenangan tanpa usaha, ada pula yang kena bekerja keras baru nampak hasilnya.

Dalam perkongsian IIUM Confessions, seorang lelaki bernama Sam telah menceritakan jerih perit kehidupannya menjadi anak petani yang sering dihina oleh guru dan rakan sekelasnya kerana mempunyai ahli keluarga yang ramai. Mempunyai adik beradik yang ramai bukanlah sesuatu yang membebankan sebenarnya. Ianya adalah rezeki daripada yang Maha Esa. Cara kita menerima dengan ikhlas apa-apa yang dikurniakan menunjukkan betapa kita sebenarnya mensyukuri setiap apa yang Tuhan telah berikan. Mari kita baca kisah kehidupan Sam.

Nama aku Sam dan semestinya ia bukan nama sebenar. Asal dari negeri Pok Jib. Seorang lelaki dan buat masa sekarang bekerja kerajaan. Aku cuma ingin meluah pasal adik beradik aku yang seramai 14 orang. Ramai kan? Kakak, abang dan adik aku meninggal masa kecil. Aku pula adalah anak kelima (selepas tolak abang dan kakak yang sudah kembali ke rahmatullah).

Jadi, sekarang seramai 11 oranglah kiranya adik beradikku yang duduk serumah sebumbung. Ini termasuk ibu ayah aku dan kami duduk seramai 13 orang serumah. Rumah kami hanyalah rumah kayu. Duduk pula di kampung yang rata-ratanya adalah keluarga terdekat kami juga.”

Perjalanan Cerita Sam bermula apabila dia masuk ke sekolah menengah. Oleh kerana Sam jenis banyak bercakap, dia aktif mengikuti pertandingan debat di sekolah dan mewakili negeri. Selain itu, dia juga menjadi ketua pengawas semasa di Tingkatan Enam (2011). Akan tetapi, kedatangan seorang guru dari Borneo telah mengubah segala-galanya.

Sewaktu sesi perkenalan bersama guru tersebut di kelas, Sam ditembakkan dengan pelbagai soalan. Antaranya, soalan mengenai bilangan adik beradiknya

“Aku cakap 11 orang. Anak kelima. Dia terkejut. Terkedu sebentar. Pastu dia cakap, ramai gila. Kuat eh bapak ko. Masa ini kawan-kawan aku dok gelak. Aku macam, apa masalah kau adik beradik aku ramai?”

“Tapi dalam hati, hormat guru itu nombor satu. Jadi aku diam. Senyap je. Kawan-kawan pula masih gelak. Cikgu pun sama senyap. Aku amat malu. Rasa macam nak nangis. Tapi aku cuba kuat dan cakap dalam hati, tak apa. Sabar. Kau lelaki. Tahan air mata,” cerita Sam.

Selepas itu guru tersebut menyuruh semua murid satu kelas membuat pembentangan pula. Kesemuanya mengenai keluarga kerana guru baru tersebut semata-mata mahu menghabiskan masa selama dua jam waktu kelasnya yang pertama kali mengajar di sekolah ini. Kesemua rakan-rakan Sam membentangkan mengenai keluarga mereka yang kecil dan berjaya.

Ibu bapa kawan-kawan sekelas kebanyakannya guru, pilot, memiliki bisnes sendiri dan anak-anak datuk datin. Sam terkedu, adakah dia seorang saja anak petani di sini? Dia masuk sekolah itupun kerana cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

“Kemuncaknya apbila rakan kelas aku seorang ni buat pembentangan beliau. Ayah pilot. Mak guru. Ayat beliau yang aku takkan lupa”

Malaysia makin mundur disebabkan lambakan penduduk yang miskin tapi subur membiak. Dah tahu hidup miskin, beranak setiap tahun tu kenapa?

Mak dah jadi kilang anak. Lepas itu sibuk nak minta subsidilah, bantuan kewanganlah. Sepatutnya Malaysia amalkan satu keluarga satu anak sahaja. Ayah kerja petani tapi anak berderet.” Fuhh pedas tegurannya tu!

Waktu tu Sam tergamam mendengar kata-kata rakan sekelasnya. Dia kemudian membuat pembentangan tentang keluarganya pula. Ibu Sam seorang suri rumah manakala ayah pula kerja sebagai petani. Kadang-kadang mereka sekeluarga makan empat ekor ikan berkongsi 13 orang. Kadang pula tiada lauk langsung. Mereka hidup susah namun tidaklah sampai melarat.

Walaupun Sam berjanji suatu masa nanti dia akan berjaya dan dia meminta orang ramai jangan memandang enteng kepada anak seorang petani tetapi dia suka orang memandangnya sebagai seorang pengemis!

Kini Sam berjaya membuktikan janji-janjinya. Bermula dengan menjadi guru sandaran, dia kemudian mengambil ijazah dengan wangnya sendiri tanpa meminta bantuan daripada mana-mana sumber. Sekarang, dia bekerja dengan kerajaan dengan gaji RM18,000 sebulan! Hebat bukan?!

“Aku pernah berjanji akan buktikan anak petani yang miskin itu akan berjaya. Dan sekarang, aku berjaya. Rumah kami telah berpindah ke tempat lain. Negeri lain. Jauh menyeberangi Laut China Selatan. Aku dan keluarga ingin mulakan hidup baru,” kata Sam lagi.

Sementara ayahnya kini bukan lagi seorang petani namun seorang nelayan pula. Walaupun Sam sudah mampu menyara kehidupan mereka, ayahnya berkeras mahu bekerja. Lelaki tua itu juga kini sudah memiliki kereta pacuan empat roda hasil duit jerih payahnya.

Anak petani itu berjaya. Kepada cikgu, sekiranya cikgu membaca confession ini, saya tidak mengambil hati perbuatan cikgu. Kawan sekelasku, anak pilot. Jangan merasa bersalah denganku lagi. Aku bersyukur dipertemukan dengan kalian. Hari itu menjadi titik tolak keazaman aku belajar lebih keras sehingga berjaya,” kata Sam di akhir entri.

Sesungguhnya janganlah memandang rendah akan kesusahan yang dialami orang lain. Beri semangat dan bantu mereka untuk terus berjaya dalam hidup.

Post Berkaitan

Leave a Reply