Ibu adalah individu penting yang banyak mempengaruhi cara didikan anak-anak membesar. Kebanyakan anak lebih rapat dengan ibu berbanding ayah. Bukan bermaksud ayah tiada peranan dalam mendidik anak tetapi sikap semula jadi ibu yang lebih prihatin,penyayang dan lemah-lembut membuatkan anak lebih cepat ‘mendengar kata’ jika ibu yang menasihatkan.
Jadi, ibu-ibu perlu ada sisi ‘garang’ yang boleh mempengaruhi cara didikan anak supaya menjadi orang. Selain suka memanjakan anak, ibu kena bersikap tegas supaya anak tak naik lemak dan pijak kepala ibu!
1. Kena sentiasa ingatkan anak untuk solat
Biarlah berbuih mulut ibu hari-hari bebelkan anak suruh solat kerana ingatan tersebut akhirnya akan menjadikan anak orang yang tidak meninggalkan solat. Mungkin pada awalnya dia bersolat kerana takut ibu marahkannya tapi bila sudah semakin matang, dia tahu itu tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.
2. Jaga adab
Kalau tengok anak orang yang beradab, kita mesti cakap “pandai mak bapak dia ajar”, jadi penting bagi ibu untuk sentiasa berpesan kepada anak bagaimana menjadi manusia yang beradab dan berakhlak mulia.
3. Kawal anak dari tengok TV dan gajet
Ibu yang tegas dan sayangkan anak pasti tidak akan membenarkan anaknya menonton TV dan melihat gajet melampaui batas. Biarlah orang kata kita ibu yang garang dan tak kasihan pada anak tapi sebenarnya itulah ibu yang mahu anaknya tidak rosak dan menjadi ‘orang’!
4. Paksa anak tidur awal
Disiplin kena diajar supaya anak tak mudah buat perangai. Antara disiplin yang perlu dibiasakan pada anak iaitu kena tidur awal. Kadang-kala ibu kena paksa anak untuk tidur awal. Tujuannya sudah tentu tak mahu anak kurang tidur dan akhirnya ganggu kesihatan dan tumbesarannya.
5. Jangan beri anak jajan setiap hari
Mungkin bagi sesetengah orang, ibu yang mengawal anak makan jajan kelihatan tak sporting tapi hakikatnya dia adalah ibu yang penyayang dan prihatin pada kesihatan anaknya untuk jangka masa panjang.
6. Bayar jika mahukan sesuatu
Bagi anak yang sudah besar, tak salah kalau ibu nak didik mereka untuk bayar sejumlah wang jika mahukan sesuatu. Nampak kejam kan? Tapi sebenarnya itu cara untuk didik anak lebih bertanggungjawab dan menghargai apa yang dia perolehi. Contohnya kalau dia mahu beli sesuatu barang, anda boleh suruhnya buat beberapa kerja rumah dan bayar upah. Duit yang diperolehi itulah digunakan untuk membeli barangan yang dia mahukan.
7. Beri mereka jam
Ajar anak menghargai masa dan menepati masa. Ia boleh dilakukan dengan cara memberi mereka sebuah jam. Orang yang berjaya adalah orang yang tidak suka membuang masa dan selalu menepati masa.
8. Jangan selalu belikan barang terbaru dan terbaik
Jangan manjakan anak dengan selalu membelikannya barangan terbaru dan terbaik. Memang kita sayangkan anak tapi sikap tersebut hanya akan membuatkan anak tidak menghargainya.
Jom tonton video ceramah…
Isfadiah Tanyalah Ustazah Cabaran Mendidik 1
9. Mengaku salah bila buat silap
Jangan sekali-kali manjakan anak dengan cara melindungi kesalahan yang dia lakukan. Ajar anak untuk berani mengaku salah bila buat silap serta sedia terima hukuman atas kesilapan tersebut.
Ibu adalah orang yang paling rapat dengan anak. Biarkan mereka menjadikan ibu sebagai orang pertama yang menjadi rujukan dan tempat anak mengadu masalah dan berkongsi kegembiraan. Mainkan peranan penting dalam mendidik anak menjadi insan yang berakhlak dan berjaya di dunia dan akhirat.
Isfadiah Tanyalah Ustazah Cabaran Mendidik 2