Pemuda OKU tak pernah mengeluh, Allah uji sebab sayang

Sebagai manusia, kita sering mengeluh melihat penampilan kita. Selalunya, kita akan membandingkan diri dengan orang lain yang dianggap lebih ‘lawa’ dan ‘menarik’ walaupun kita dikurniakan anggota badan lengkap dan berfungsi dengan baik.

Cuba renung sejenak, bukan semua orang beruntung dilahirkan dalam bentuk fizikal yang sempurna macam kita. Ada insan sejak dari kecil sudah diuji dan digelar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

Namun begitu, mereka sentiasa tabah dan kuat menempuh ujian dan dugaan demi meneruskan kehidupan. Begitulah seperti kisah seorang pemuda yang dikenali sebagai Amir Azam ini.

Tangan tak seperti orang lain


Difahamkan lagi, sejak kecil Amir tidak boleh menggunakan tangannya dengan baik dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Disebabkan tangannya tidak boleh berfungsi seperti orang lain, Amir memerlukan bantuan seseorang untuk melakukan sesuatu buat dirinya seperti menyuapkan makanan.

Bagaimanapun, di waktu bulan Ramadan ini Amir terpaksa melakukannya sendiri terutamanya sewaktu sahur di mana dia seorang sahaja berada di rumah.

Susah nak makan sendiri
Menerusi sebuah video yang dikongsi di aplikasi TikTok, lelaki itu dilihat gigih mengerahkan kudrat sedaya-upaya untuk menjamah sebiji burger di hadapannya sewaktu sahur.

Bagi kita, makan sebiji burger mungkin sesuatu tugas yang mudah, namun tidak bagi insan bernama Amir ini. Dalam video itu, dia dilihat terpaksa menonggengkan badan sehingga mukanya mencecah paras burger di atas lantai.

Allah uji sebab sayang
Meskipun diuji sedemikian rupa, Amir sedikit pun tidak pernah mengeluh dengan keadaannya itu. Malah, dia tetap mensyukuri nikmat yang ada kerana baginya ujian Allah adalah satu tanda kasih-sayang buat hambaNya.

Sementara itu, dia sempat mengingatkan orang ramai agar jangan persia-siakan nikmat kehidupan diberi Allah melalui ruangan kapsyen.

“Allah berikan nikmat kehidupan janganlah kamu persia-siakannya,” tulisnya.
Bersyukurlah selagi kita diberi peluang untuk hidup di dunia ini.

Tak sempurna di mata manusia, tapi sempurna di hadapan Pencipta
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak melihat ujian yang dilalui oleh Amir.

Selain itu, tak dinafikan lagi perkongsian Amir itu telah menyedarkan ramai orang berkenaan segala nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada mereka.

Semoga Amir sentiasa kuat!


Murahkanlah rezeki Amir


Orang sempurna banyak mengeluh..


Ramai lalai dengan nikmat Allah beri


Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan? (Ar-Rahman: 13).

Leave a Reply

Your email address will not be published.