Mana Nak Dapat Boss Mcm Ni. Tauke Cina utamakan solat & Kewajiiban pekerja Islam

BERBEZA kepercayaan dan agama yang dianuti tidak menghalang seorang majikan berbangsa Cina atau digelar ‘Haji Ghani’ dalam menyantuni pekerja beragama Islam agar mereka sentiasa mendirikan solat lima waktu.

Bahkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Link Holders atau nama sebenarnya, Gan Leong Piow turut menyediakan dua surau masing-masing bagi lelaki dan wanita untuk memudahkan pekerja berwuduk serta mendirikan sembahyang ketika berada di tempat kerja.

Menurutnya, kepercayaan kuat terhadap kewujudan Tuhan dalam kehidupan mendorongnya untuk sentiasa berbuat baik sesama manusia secara infiniti melangkaui batasan agama.

“Saya memahami tanggungjawab orang Islam yang wajib menunaikan solat lima waktu termasuk ketika di tempat kerja. Mereka mula bekerja jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.

“Waktu Zuhur kira-kira jam 1 tengah hari hingga 4 petang. Tengah-tengah waktu bekerja boleh saja berhenti sekejap untuk solat. Bukan lama pun, setengah jam saja. Solat itu penting,” katanya ketika ditemui di kilang pembungkusan minyak masak miliknya yang terletak di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II di sini pada Rabu.

Berasal di Kampung Atas Paloh berhampiran Masjid Muhammadi dan membesar dalam kalangan masyarakat Melayu beragama Islam menyebabkan Gan tidak kekok melihat umat Islam mendirikan solat, malahan dia sendiri selalu menyebut kalimah syahadah.

“Saya menyediakan bilik khas solat berasingan untuk pekerja lelaki dan perempuan bagi memastikan mereka tidak meninggalkan solat. Saya tidak solat kerana bukan Islam, namun saya wajibkan mereka patuh dengan ajaran agama mereka.

“Di kilang saya juga tidak dibenarkan membawa masuk benda haram. Disebabkan itu setiap tahun kami akan mengadakan solat hajat supaya dipermudahkan segala urusan kami,” katanya.

Lebih mengagumkan peribadi dimiliki usahawan yang juga bapa kepada empat anak itu bukan sahaja setakat menitikberatkan soal ibadat pekerjanya malahan turut mengutamakan layanan baik dan pantang marah terhadap pekerjanya walaupun mereka melakukan kesalahan.

Surau yang disediakan untuk pekerja Islam mendirikan solat.

“Saya sangat percaya pada Tuhan yang menjanjikan apabila kita berbuat baik, maka akan mendapat balasan baik. Ia bukan sahaja dalam agama Islam, tetapi setiap agama termasuk Budha.

“Kita semua sama sahaja, manusia yang kerdil. Kalau salah pun boleh tegur secara baik lebih-lebih lagi pekerja yang sudah berpuluh tahun berkhidmat dan setia pada syarikat ini,” katanya.

Ujar beliau lagi, kemesraannya dalam pergaulan sesama rakan yang berbangsa Melayu sejak kecil turut menyebabkan nama panggilan Piow disebut sebagai Pia sahaja yang berbunyi seakan-akan sebutan nama kaum Melayu.

Gan Leong Piow
“Apabila dah berusia sedikit, kawan-kawan panggil saya ‘Haji Ghani’, ambil daripada nama saya Gan dan sebab saya hantar dua pekerja Islam pergi menunaikan umrah setiap tahun.

“Usia saya sekarang sudah 72 tahun, tidak lama lagi mati. Sekurang-kurangnya apabila tiada nanti, ada jasa baik yang boleh dikenang,” katanya yang petah loghat Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.